Saturday 21 July 2012

The Zaads ( Berbekal lah..)


Assalamualaikum w.b.t
Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah Allah memanjangkan usia kita untuk menjejak 2 Ramadhan. Semoga kita terus diberi peluang untuk melalui Ramadhan tahun ini sepenuhnya jua Ramadhan2 yg akan datang InsyaAllah.

Ok. Untuk post kali ini, pencoret berhajat untuk berkongsi sedikit kata-kata semangat dan nasihat yang diperolehi daripada kawan-kawan kita semasa reunion yang lepas. Khas untuk diri sendiri, perkongsian buat kawan-kawan yang tidak dapat hadir, dan ulangkaji buat kawan-kawan yang telah mendengarnya hari tu serta sebagai bekalan buat semua.
Semoga Allah kasih.
Semoga Allah redha.


**************


"tidak cukup menjadi seorang yang baik.

tapi jadilah seorang muslim."

- Nurul A'mirah

ulasan pencoret :  kerana setiap kebaikan yang kita lakukan, tidak akan ada maknanya jika kita tidak menjadi muslim yang baik. Kita tidak menjaga solat, membuka aurat, melakukan maksiat, maka tidak cukup kita menjadi baik tetapi mengabaikan tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim. 


"berkahwin bukan kerana cinta, tetapi berkahwin untuk membina keluarga.." 
- Maysarah Mansor 

ulasan pencoret :  betapa ramai yang berkahwin pada hari ini atas dasar cinta semata-mata, tanpa ada niat untuk membina keluarga. Diri kurang ilmu, tiada persiapan, niat yang tidak jelas, maka rumahtangga yang dibina terasa hambar, dan akhirnya berpecah. Ingat,beberapa keluarga yang dibina atas landasan keimanan akan membentuk masyarakat yang beriman. Masyarakat itulah yang akan membina ummat, ummat membina daulah, daulah menegakkan khilafah. Semuanya bermula daripada institusi kekeluargaan.

" bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu, dan kuasai bidang kita..
- Siti Fatimah Adnan 

Ulasan pencoret :Islam memerlukan kita, memerlukan tenaga dan kepakaran kita. Maka tidak kiralah di bidang mana pun Allah meletakkan kita, maka bersungguh-sungguhlah mendalaminya. Kerana ilmu itu milik kita, bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu kerana orang beriman itu adalah orang yang peka terhadap ilmunya, menggunakan ilmunya di jalan Allah, membantu ummah.

‎"jadilah manusia yg professional
- Sakinah Ramadhan

Ulasan pencoret : Apa-apa pun bidang yang kita ceburi, pastikan kita melakukan dengan sebaik mungkin. Bertindak sebagai seorang yang professional, jangan bersika emosional, hadapi masalah dengan rasional. Keprofesionalan (susoh benor nak sebut) kita itu kelak membantu kita dalam menghadapi apa jua rintangan pada masa hadapan. Matangkanlah diri.

"..dalam setiap apa yg kita lakukan, paling penting adalah hubungan dengan Allah..
- Azimah Snas

Ulasan pencoret : Apabila kita menyelesaikan hubungan kita dengan Allah, menunaikan hak-hak Allah, maka insyaAllah Allah akan memudahkan urusan duniawi jua urusan ukhrawi kita. Semuanya dikembalikan kepada Allah. Apabila dilanda masalah, cuba check kembali, bagaimana hubungan kita dengan Allah? Sejauh mana pengharapan kita kepada-Nya? ataupun selama ini kita lupa maka Dia menguji kita untuk mengingati-Nya?

"..tarbiyah yang kita dapat selama ini, masyarakat memerlukannya..
- Sarah Ali

Ulasan pencoret : Selama ini kita hanya disuap dengan tarbiyah, malah kita tidak tahu apakah itu dakwah dan tarbiyah yang sebenarnya sehinggalah suatu hari kita terjun ke dalam masyarakat yang berpenyakit, penyakit lalai, cintakan dunia, masyarakat yang dahagakan peringatan. Maka di sinilah peranan kita. bagaimana kita mempraktikkan kembali apa yang kita terima di MATRI suatu ketika dahulu..?

************


InsyaAllah, semoga dengan sedikit peringatan ini, bisa menjadi jentikan buat jiwa-jiwa kita. Carilah kebaikan di mana sahaja kita berada. Hikmah itu harta orang beriman yang telah dirampas. Di mana sahaja engkau menemukannya, kutiplah ia.

Wallahua'laam.. Salam Ramadhan.

Bidadari Dunia
8.09 am
2 Ramadhan 1433
22 Julai 2012



No comments: